Friday, December 02, 2016

Presiden UMNO Dato’ Seri Najib Razak telah mengeluarkan fitnah berbau perkauman yang melampau terhadap DAP untuk menakutkan orang Melayu dan mengalihkan kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB, SRC International dan MO1

Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Razak telah melontarkan pelbagai fitnah dan dusta terhadap parti DAP dan pemimpin-pemimpinnya dalam ucaptama Perhimpunan Agung UMNO semalam.

Beliau berkata bahawa “sekiranya negara ini jatuh ke tangan DAP yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya, pastinya, hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh UMNO selama ini, termasuk Institusi-institusi Bumiputera antaranya MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan pupus dan lenyap.”

Tambahan lagi, Dato’ Seri Najib juga menuduh bahawa “Perlembagaan parti DAP, tiada langsung menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, tidak dinyatakan untuk menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan tidak tertulis satu ayat pun, tentang usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan Orang-Orang Melayu serta Bumiputera.”

Kami ingin bertanya kepada Dato’ Seri Najib Razak -  parti yang mana yang meletakkan keseluruhan Perlembagaan Persekutuan ke dalam Perlembagaan Parti?  Adakah MCA, MIC, Gerakan, parti-parti Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak menyenaraikan setiap fasal perlembagaan persekutuan ke dalam perlembagaan parti mereka?

Jelasnya tidak. Hakikatnya, Presiden UMNO hanya ingin menipu dan mengelirukan orang ramai terhadap perlembagaan parti DAP.

Adalah tertulis dalam perlembagaan DAP bahawa maksud dan semangat Perlembagaan Persekutuan seperti yang dihasratkan oleh pengasas penubuhan dan kemerdekaan Malaysia merupakan perjuangan DAP.  Setahu kami, fasal-fasal yang disebut oleh Dato’ Seri Najib Razak – Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan bumiputera adalah terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sama dipertahankan oleh DAP.

Apatah lagi, untuk menafikan pembohongan-pembohongan UMNO selama ini, semasa Persidangan Parti DAP di Shah Alam pada 8 Jan 2012[1], DAP telah mengeluarkan dan meluluskan Deklarasi Shah Alam yang antaranya menegaskan bahawa:
Kita menghasratkan Impian Bangsa Malaysia, dan dalam usaha untuk mengecapi impian ini, kita mengulangi komitmen untuk:

Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.

Memperjuangkan kebebasan rakyat yang terjamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, iaitu kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan menubuh persatuan.

Menghormati Perjanjian Malaysia 1963 serta hak-hak yang dimiliki oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Adakah Dato’ Seri Najib Razak buta huruf sehingga sehingga beliau tidak faham apa yang tertulis dan diterbitkan oleh DAP sebelum ini?

Atau Dato’ Seri Najib Razak sengaja berfitnah untuk mengapi-apikan kebencian perkauman di kalangan orang Melayu supaya segala skandal-skandal pimpinan beliau, termasuk penyelewengan berbilion-bilion dolar daripada syarikat kerajaan 1MDB dan SRC International ke dalam akaun peribadi beliau, akan dilupakan?

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi dalam ucapan beliau dua hari dahulu menuduh pihak pembangkang mempergunakan strategi Nazi, iaitu “jika anda ingin berbohong, biarlah ia besar dan jika kamu katakannya berulang kali, orang akan mula mempercayainya.”

Apa yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, terutamanya mengenai penyelewengan kewangan 1MDB dan SRC oleh Presiden UMNO, yang juga merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah terbukti benar dan tidak dinafikan oleh Dato’ Seri Najib Razak.  Walhal, yang benar-benar mempergunakan strategi pembohong besar Nazi adalah Dato’ Seri Najib Razak sendiri, seperti yang telah dibuktikan di atas.

No comments: